
KUALA LUMPUR – Sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh mulai bulan ini hingga Mac depan, Jabatan Bomba dan Penyelamat membekukan cuti kira-kira 11,000 pegawai dan anggota pasukan itu di seluruh negara.
Penolong Ketua Pengarah Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat, Datuk Soiman Jahid, berkata mereka kini bersiap siaga mengendalikan mangsa banjir di seluruh negara
. Setakat ini, Kedah dan Perak mengalami banjir di beberapa kawasan di kedua-dua negeri itu.
Soiman berkata jabatan itu menggunakan sepenuhnya logistik yang ada untuk kerja-kerja menyelamat dan memindahkan mangsa banjir selain bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tugasan itu.
“Di peringkat awal, mereka akan membuat rondaan di tempat-tempat yang berpotensi banjir di seluruh negara,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Soiman turut menasihatkan penduduk di lereng bukit supaya sentiasa berwaspada dengan keadaan bukit terutama ketika musim tengkujuh berikutan tanah menjadi lembap dan berkemungkinan runtuh.
Beliau meminta mereka membuat pemantauan harian di sekitar kawasan kediaman termasuk mengesan keretakan tanah, pokok tumbang di lereng bukit dan kebocoran tali air dalam tanah.
“Itu adalah tanda-tanda awal akan berlaku runtuhan dan gelongsoran tanah di kawasan itu. Sekiranya tanda-tanda itu dikenal pasti, penduduk disarankan membuat laporan dengan segera kepada pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Sementara itu, Soiman berkata jabatan itu membelanjakan RM1.28 juta bagi memasang 203 pili bomba baharu di sekitar Kuala Lumpur dari 2010 hingga 2013.
Selain itu, pihaknya memeriksa 17,559 pili bomba di sekitar Kuala Lumpur dan mendapati 2,905 daripadanya rosak.
Namun, katanya kerosakan pili bomba itu tidak menjejaskan operasi memadam kebakaran kerana adanya pili bomba berdekatan dengan jarak 91.5 meter. – BERNAMA
0 komentar:
Posting Komentar